Di Kanada, suhu ekstrem menghampiri –50 darjah Celsius diramalkan berlaku di wilayah Ontario dan Quebec, utara negara itu.

Hawa Artik dan angin sejuk membuatkan suhu di serata timur AS pula terasa seperti –42 darjah Celsius dengan risiko kecederaan ‘reput fros’ pada kulit jika terdedah selama 10 minit, kata beberapa pegawai dalam amaran mereka.

Suhu sejuk melampau itu melanda selepas fenomena ribut yang digelar sebagai ‘bom siklon’ oleh ahli-ahli kaji cuaca. Media tempatan melaporkan bahawa ribut itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 19 kematian di AS, dari negeri Texas sehinggalah ke Wisconsin.

Ribut pada Khamis lalu itu menurunkan salji tebal, mengakibatkan suhu sejuk ekstrem dan membawa angin kencang ke Pantai Timur AS dengan banyak penerbangan terpaksa dibatalkan.

Namun kelmarin, keadaan menjadi serius apabila lebih 3,420 penerbangan domestik dan antarabangsa terus terkandas.

Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy dan lapangan terbang Charleston di Carolina Selatan adalah antara yang paling teruk terjejas. – AFP