Penahanan penduduk etnik Islam ­Uighur, Kazakh dan puak minoriti lain di kem-kem menjadi isu sensitif di negara jirannya, Kazakhstan yang mempunyai populasi 18 juta orang.

China merupakan rakan dagangan utama Kazakhstan. Bagaimanapun, aktivis-aktivis berkata, tekanan supaya tindakan dilaksanakan berhubung krisis itu semakin meningkat susulan liputan mengenainya oleh agensi berita Associated Press (AP) dan media lain.

Pejabat akhbar Kementerian Luar dalam jawapan melalui e-mel kepada AP mengesahkan laporan media Kazakhs­tan pada Disember 2018 bahawa China bersetuju membenarkan lebih 2,000 etnik Kazakh meninggalkan negara itu.

Mereka akan dibenarkan memohon kerakyatan ataupun status penduduk tetap selepas tiba di Kazakhstan, demikian menurut e-mel itu.

Kementerian Luar China tidak memberikan jawapan apabila diminta me­ngulas perkara tersebut.

Pihak berkuasa China di Xinjiang melancarkan kempen pengawasan dan penahanan yang menyaksikan lebih sejuta orang dimasukkan ke kem-kem tahanan.

Sebilangan bekas tahanan berkata, mereka dipaksa melupakan kebudayaan dan agama serta menjadi mangsa indok­trinasi politik. – AP