Menurut NOAA, suhu purata global pada bulan berkenaan ialah 0.95 darjah Celsius lebih tinggi berbanding suhu purata dalam kurun ke-20 iaitu 15.8 darjah Celsius sekali gus menjadikan Julai 2019 paling panas sejak tahun 1880.

“Sebahagian besar kawasan di planet ini mengalami kepanasan di luar jangkaan pada Julai tahun ini, manakala rekod baharu suhu panas dicatatkan sepanjang bulan tersebut. Kepanasan yang berlaku turut mengakibatkan lautan ais di Artik dan Antartik mengecil pada tahap paling buruk dalam sejarah,” kata NOAA.

Gelombang haba menyaksikan rekod cuaca sedia ada di serata Eropah runtuh pada bulan lalu manakala di Amerika Syarikat, hampir 150 juta orang bergelut untuk menyejukkan diri sementara media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya enam kematian berlaku.

“Sembilan daripada 10 bulan Julai yang paling panas berlaku sejak tahun 2005. Lima tahun lalu, bulan itu menduduki ranking sebagai lima yang paling panas,” jelas NOAA berdasarkan data daripada stesen cuaca, laporan kapal dan boya. – AFP