Sara Hinesley, 10, pelajar gred tiga Sekolah Daerah Katolik St. John, memenangi anugerah Nicholas Maxim 2019 dan bakal membawa pulang sebuah trofi serta wang tunai berjumlah AS$500 (RM2,070) pada 13 Jun ini. Anugerah tahunan itu diberikan kepada dua murid istimewa, masing-masing bagi kategori tulisan dan skrip.

Kanak-kanak kelainan upaya (OKU) itu mampu bertutur dan menulis dalam bahasa Mandarin. Dia berhijrah ke AS dari China untuk tinggal bersama keluarga baharunya pada Julai 2015. Dia kemudiannya pantas menguasai bahasa Inggeris dengan bantuan saudara perempuannya, Veronica.

Hinesley menulis dengan mengepit pensil menggunakan kedua-dua belah lengan dan memberi fokus terhadap setiap lengkungan serta sudut sesuatu huruf. Menurut kanak-kanak itu, menulis tulisan bersambung membuatkan dia berasa seperti menghasilkan satu karya seni.

“Saya tidak pernah mendengar anak kecil ini berkata ‘saya tidak boleh’. Dia ialah seorang bintang kecil, menyahut setiap cabaran yang diberikan kepadanya dan memberikan yang terbaik,” kata gurunya, Cheryl Churilla. – Agensi