“Perjanjian yang ditandatangani minggu ini bernilai lebih £9.3 bilion. Ia menunjukkan permintaan yang jelas untuk barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan Britain,” kata Setiausaha Perdagangan Antarabangsa, Liam Fox dalam satu kenyataan.

“Sebagai sebuah jabatan ekonomi antarabangsa, kami akan terus membina hubungan bernilai ini yang telah memberi manfaat kepada syarikat-syarikat Britain dalam bentuk daga­ngan bernilai £59 bilion (RM322 bilion) setiap tahun,” tambahnya.

Fox berkata, angka itu dijang­ka meningkat berikutan lebih banyak perjanjian telah ditandatangani antaranya termasuk persetujuan komersial, akses pasaran dan kontrak masa hadapan dengan sektor berbeza.

Perjanjian dan akses pasaran bernilai lebih £1 bilion (RM5.51 bilion) yang menjanjikan 890 pekerjaan telah dimuktamadkan untuk sektor perkhidmatan kewangan Britain, katanya lagi.

May mengakhiri lawatan tiga hari beliau ke China di ibu kota kewangan negara komunis itu semalam.

Britain cuba bangkit untuk kembali muncul sebagai sebuah negara perdagangan global susulan referendum pada 2016 yang menyaksikan rakyatnya memilih untuk meninggalkan Kesatuan Eropah.

Brexit membuatkan Beijing resah, walaupun London berharap dapat menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan kuasa ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Namun, Perdana Menteri China, Li Keqiang tetap memberi jaminan kepada May pada Rabu lepas bahawa hubungan China dan Britain kekal tidak berubah sepanjang Brexit. – AFP