Operasi menyelamat itu membabitkan 14 lelaki, 10 wa­nita dan sembilan kanak-kanak yang tinggal di kem pelarian di sini, menurut Komander pe­ngawal pantai di bandar Teknaf, Fayezul Islam Mondol.

“Kami juga telah menahan enam suspek sindiket peme­­r­dag­angan manusia. Kesemua mereka adalah rakyat Bangladesh,” katanya.

Menurut Fayezul, pela­rian Rohingya yang menaiki bot uzur itu dipercayai cuba membuat pelayaran ke Malaysia.

Bagaimanapun, bot pukat tunda itu berjaya dipintas oleh pengawal pantai berhampiran Pulau Saint Martin iaitu wilayah terakhir Bangladesh yang terletak hanya kira-kira beberapa kilometer dari pinggir pantai Anauk Myinhlut, M­yanmar.

Salah seorang suspek pe­merdagangan manusia, Abdus Shukur, 55, berkata, bot pukat tunda itu dijadualkan dipindahkan ke sebuah kapal lebih besar berhampiran Teluk Bengal.

“Kami sebenarnya dipaksa penduduk tempatan untuk membawa pelarian Rohingya ini dengan menaiki bot. Kami diarahkan untuk membawa mereka ke sebuah kapal yang sedang menunggu berhampiran Saint Martin,” katanya.

Susulan itu, pihak berkuasa di Bangladesh kini bimbang kebanyakan pelarian Rohingya kini mula melakukan perjalanan ke Asia Tenggara dengan menaiki bot.

Kebanyakan pelayaran lazimnya bermula antara November hingga Mac ketika air laut tenang.

Kira-kira 720,00 pelarian Rohingya yang dianiayai tentera Myanmar terpaksa berlindung di beberapa kem sejak Ogos tahun lalu.

Mereka terpaksa melarikan diri daripada operasi pembersihan etnik yang dijalankan di negeri Rakhine, barat Myanmar dan tinggal bersama 300,000 pelarian yang kini menetap di beberapa kem di sini. – AFP