Clauvino da Silva yang juga dikenali sebagai Pendek. cuba meloloskan diri dari penjara berkenaan di barat negeri Rio De Janeiro dengan memakai pakaian remaja perempuan itu tetapi tertangkap kerana terlalu gementar, kata beberapa pegawai penjara.

Dia merancang untuk meninggalkan anak perempuannya yang berumur 19 tahun dalam penjara tersebut.

Polis kini menyiasat gadis itu kerana disyaki bersubahat dengan bapanya dalam percubaan melarikan diri dari Penjara Gericino pada Sabtu lalu.

Setiausaha Pentadbiran Penjara Negeri Rio de Janeiro menyiarkan gambar menunjukkan da Silva memakai topeng muka anaknya bersama rambut palsu, seluar jean ketat dan baju berwarna merah jambu.

Pihak berkuasa juga menyiarkan klip video menunjukkan banduan itu membuka topeng dan melucutkan sebahagian pakaiannya.

Menurut pihak berkuasa, da Silva merupakan sebahagian daripada orang kanan sindiket Red Command, salah satu kumpulan jenayah paling berkuasa di Brazil.

Selepas cubaannya gagal, da Silva dipindahkan ke unit penjara kawalan maksimum dan akan berdepan tindakan disiplin, demikian menurut beberapa pegawai. – Agensi