Bom seberat 500 kilogram dipercayai digugurkan dari pesawat pengebom Amerika Syarikat itu ditemui semasa kerja-kerja pembinaan minggu lalu.

“Berita baik: bom tersebut telah dimusnahkan! Penduduk boleh pulang ke kediaman mereka,” kata pentadbiran bandar Ludwigshafen, barat Jerman dalam satu kenyataan di laman Twitter rasminya.

Ia turut menyiarkan gambar bom berkarat itu sebelum bahan letupan tersebut dipindahkan dari kawasan berkenaan.

Pihak berkuasa di bandar Ludwigshafen mengarahkan mereka yang tinggal dalam radius 1,000 meter dari lokasi bom tersebut ditemui supaya meninggalkan kediaman mereka dari pukul 8 pagi (waktu tempatan) sebagai langkah berjaga-jaga menjelang operasi pemusnahan.

Unit pemusnah bom mengambil masa cuma lebih sejam untuk menyelesaikan tugas rumit itu dengan  operasi  berakhir sejurus selepas pukul 2 petang.

Lebih 70 tahun selepas Perang Dunia Kedua tamat, bom pendam  berselerakan di serata Jerman dan merupakan peninggalan kempen serangan udara pihak Berikat dalam perang menentang rejim Nazi. - AFP