Hab kewangan antarabangsa itu terpalit dengan krisis paling buruk dalam sejarah modennya berikutan bantahan berskala besar-besaran dan konfrontasi ganas sejak sebulan lalu, antara kumpulan penunjuk perasaan dan polis.

Perarakan itu tercetus susulan satu cadangan rang undang-undang ekstradisi ke Tanah Besar China. Bagaimanapun, Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam yang dilantik Beijing mengambil keputusan untuk menggantung sementara cadangan itu disebabkan protes rakyat.

Pada pagi semalam, beberapa kumpulan atas talian menyatakan rancangan untuk terus mengadakan lebih banyak bantahan menerusi aplikasi mesej yang dikodkan dan forum-forum perbincangan.

Salah satu cadangan yang menjadi tular adalah gesaan untuk mengeluarkan wang simpanan secara beramai-ramai daripada akaun masing-masing Bank of China pada Sabtu ini. Ia digambarkan sebagai satu ‘ujian stres’ terhadap kecairan institusi kewangan berkenaan.

Saham bank berkenaan menyu­sut satu peratus semalam.

Bangunan ibu pejabat Bank of China milik Hong Kong merupakan antara bangunan paling mudah dikenali di wilayah yang terkenal dengan puluhan bangunan pencakar langit. Institusi itu juga merupakan satu daripada tiga bank yang dibenarkan untuk mencetak wang.

Malam kelmarin, satu lagi kejadian keganasan tercetus di daerah Mongkok selepas polis menggunakan cota untuk memukul sekumpulan penunjuk perasaan muda bertopeng di kawasan jalan raya yang enggan bersurai.

Kumpulan itu berhimpun selepas satu perarakan berskala besar-besaran yang berlangsung pada waktu siang.

“Segelintir peserta bantahan melawan dan polis menahan lima orang kerana serangan ke atas seorang anggota serta menghalang pelaksanaan tugas,” menurut satu kenyataan.

Seorang lagi penunjuk pe­rasaan ditahan terlebih dahulu kerana gagal menunjukkan kad pengenalan ketika pemeriksaan oleh pihak berkuasa.

Penunjuk perasaan mahu rang undang-undang itu dibatalkan sepenuhnya dan Lam meletakkan jawatan. Beijing memberi sokongan penuh kepada Lam dan meminta pihak polis untuk menangkap mereka yang terlibat dalam insiden menyerbu Parlimen Hong Kong serta lain-lain pertempuran. – AFP