Boeing menyatakan pada Pertunjukan Udara Farnborough di England, minggu ini bahawa pihaknya menjangkakan dapat membuat 42,700 penghantaran industri dalam masa dua dekad akan datang, meningkat berbanding anggaran 41,030 penghantaran setahun lalu.

Jumlah itu menyamai unjuran pendapatan AS$6.3 tri­lion (RM25.4 trilion), meningkat berbanding unjuran serupa berjumlah AS$6.1 trilion (RM24.6 trilion) pada tahun lalu.

Unjuran positif itu didorong peningkatan lima peratus dalam jualan pesawat lorong tunggal seperti Boeing 737 dan Airbus A320 yang dipacu ramalan pertumbuhan trafik udara global sebanyak 4.7 peratus setahun, tidak berubah sejak tahun lalu.

Boeing yang berpangkalan di bandar raya Chicago kini me­nyaksikan sebanyak 31,360 penghantaran pesawat lorong tunggal yang menjadi ‘lubuk wang’ kepada dua pengeluar pesawat terbesar di dunia itu dan popular dalam kalangan syarikat pe­nerbangan tambang murah.

Perjalanan udara mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan yang dipacu oleh ekonomi-ekonomi baharu, manakala China dilihat akan mengatasi Amerika Syarikat (AS) sebagai pasaran perjalanan udara domestik terbesar di dunia dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lagi, kata Timbalan Presiden Pasaran Komersial Boeing, Randy Tinseth pada satu sidang akhbar.

Menurutnya, pertumbuhan pasaran domestik China dan permintaan tinggi untuk pesawat keluaran Boeing dan firma Eropah, Airbus dapat mengurangkan risiko Boeing sekiranya perbalahan perdagangan antara Washington dan Beijing merebak menjadi perang perdagangan sepenuhnya.

Boeing yang bergelar pengeksport terbesar AS, menghantar lebih satu daripada setiap empat pesawat komersial buatannya kepada pelanggan di China pada tahun lalu. – Reuters