Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) mengesan sebanyak 914 titik panas di wilayah Riau, Jambi dan Sumatera Selatan serta wilayah Kalimantan Selatan, Tengah mahupun Barat pada 2 September lalu.

Pada 6 September lepas pula, BNPB melaporkan bilangan titik panas di rantau sama meningkat kepada 6,312.

Kaedah pembakaran terbuka kerap digunakan di serata Indonesia bagi membersihkan hutan untuk tanaman kelapa sawit atau pokok yang menghasilkan kertas.

Jerebu yang terhasil akibat pembakaran hutan bergerak ke negara jiran, Malaysia dan Singapura disebabkan oleh tiupan angin. Kebakaran hutan tahun ini dijangka teruk ekoran musim kering yang terik dan fenomena cuaca El Nino selepas cuaca lebih sederhana sejak tiga tahun lalu.

Setakat hujung Ogos lalu, kebakaran hutan di Indonesia memusnahkan tanah seluas 42,740 hektar atau menyamai dua pertiga saiz Singapura, meningkat dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jerebu dari Kalimantan Barat dikesan menyeberang ke Sarawak pada 5 September lalu, demikian menurut agensi kaji cuaca Indonesia.

Pada Ogos lalu pula, jerebu akibat kebakaran hutan dikesan melintasi Selat Melaka menuju ke Malaysia.

Bagaimanapun, Jakarta menolak dakwaan bahawa peningkatan titik panas di Indonesia baru-baru ini te­lah mencetuskan masalah jerebu rentas sempadan.

Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar memberitahu media tempatan bahawa aduan terbaharu Malaysia mengenai jerebu itu adalah tidak benar tanpa sebarang bukti.

Justeru, katanya aduan itu tidak boleh diterima’. 
– Agensi