Mereka berkata, dasar itu boleh mengeruhkan hubungan diplomatik dan menjejaskan industri perikanan.

Di bawah arahan menteri popular, Susi Pudjiastuti, Indonesia memusnahkan beratus-ratus bot nelayan asing sejak tahun 2014 antaranya bot China, Thailand dan Vietnam dalam usaha melindungi stok ikan dan nelayan tempatan.

Namun, Naib Presiden, Jusuf Kalla berkata, dasar itu boleh menjejaskan hubungan dengan negara lain.

“Menurut pandangan pemerintah, cukuplah,” kata Jusuf dalam kenyataan yang dilaporkan akhbar Kompas dan disahkan oleh jurucakap beliau.

“Ini melibatkan hubungan kita dengan negara-negara lain,” tambahnya.

Pada tahun 2015, China menyuarakan kebimbangan serius apabila sebuah botnya merupakan antara 41 bot yang diletupkan oleh Indonesia.

Dewan Perniagaan Indonesia membuat aduan kelmarin bahawa tindakan itu menjejaskan industri perikanan dengan eksport produk ikan semakin menurun.

“Kami meminta pemerintah supaya memberikan perhatian kepada aspek pengeluaran dan meningkatkan pelaburan dalam sektor perikanan,” kata ahli kanan dewan berkenaan, Yugi Prayanto.

Susi merupakan menteri Indonesia paling popular sejak pelantikannya pada tahun 2014.

Beliau yang merupakan bekas usahawan ikan, mempertahankan dasarnya dalam sebuah klip video yang dimuat naik di YouTube.

“Ini (tindakan memusnahkan bot nelayan asing) bukanlah idea ataupun hobi Susi Pudjiastuti mahupun Presiden Jokowi,” katanya merujuk kepada nama gelaran Presiden Indonesia.

“Jokowi mengarahkan pihak berkuasa melaksanakan undang-undang perikanan supaya kecurian besar ikan milik Indonesia akan berakhir,” tambah menteri itu.

Industri perikanan Indonesia mengalami kerugian hampir 200 bilion rupiah (RM59.5 juta) pada setiap tahun kerana penangkapan ikan secara haram yang dilakukan oleh nelayan asing, katanya. 
– Reuters