Mahkamah mendapati Santos Lopez ‘bertanggungjawab sebagai dalang’ kepada 171 pembunuhan dengan hukuman penjara selama 30 tahun bagi setiap kesalahan, atau 5,130 tahun secara keseluruhan.

Dia turut menerima tambahan selama 30 tahun yang dikaitkan de­ngan cubaan pembunuhan seorang kanak-kanak yang terselamat tetapi hukuman tersebut menjadi simbolik kerana tempoh hukuman penjara maksimum di Guatemala adalah 50 tahun.

Lopez merupakan bekas ahli pasukan antipemberontakan yang dilatih oleh Amerika Syarikat (AS) dikenali sebagai Kaibil. Dia ditangkap di AS dan dihantar pulang pada tahun 2016.

Berdasarkan siasatan, Lopez merupakan sebahagian daripada kumpulan yang melakukan pembunuhan besar-besaran pada Disember 1982 di kampung Don Erres yang terletak bersempadan dengan Mexico.

Pasukan tentera cuba mendapatkan semula kira-kira 20 pucuk raifal yang dicuri oleh puak gerila dalam serbuan yang dilakukan sebelumnya dan menyebabkan 19 tentera maut.

Kisah Dos Erres pernah dirangkumkan dalam sebuah dokumentari pada tahun 2017 bertajuk ‘Finding Oscar’ yang diterbitkan secara eksekutif oleh Steven Speilberg yang menceritakan pencarian seorang kanak-kanak lelaki yang terselamat dan dibesarkan oleh salah seorang tentera tersebut.

Sebilangan ahli Kaibil turut disabitkan kesalahan, dengan setiap seorang menerima hukuman penjara selama lebih 6,000 tahun.

Pembunuhan besar-besaran itu berlaku semasa pemerintahan diktator Efrain Rios Montt yang turut didakwa terlibat dan telah meninggal dunia pada April lalu. – AFP