Pakatan itu diramal memenangi sebahagian besar undi tetapi tidak cukup untuk mendapatkan kemenangan majoriti, manakala janji Berlusconi untuk memperjuangkan agenda populis menjadi abu susulan rakyat beralih sokongan kerana sudah bosan dengan politik tradisional.

“Keajaiban Berlusconi gagal,” lapor akhbar La Republica semalam.

Keputusan pilihan raya itu membayangkan Berlusconi terpaksa memainkan peranan kurang penting berbanding pemimpin Liga Utara, Matteo Salvini.

Di sebalik skandal seks, kesilapan memalukan dan masalah undang-undang, Berlusconi berjaya membuat kemunculan se­mula dalam dunia politik Itali pada usia 81 tahun.

Walaupun dihalang daripada menjawat sebarang jawatan dalam kerajaan selepas didapati bersalah kerana menipu cukai, Berlusconi menampilkan bekas anak didiknya, Antonio Tajani yang juga Presiden Parlimen Eropah sebagai calon Perdana Menteri Itali sekiranya beliau memenangi pilihan raya.

Namun, prospek itu tidak lagi munasabah berikutan prestasi hambar partinya, memenangi cuma 14.5 peratus undi dengan dua pertiga kertas undi sudah dikira, berbanding ramalan kemenangan 18 peratus sebelum pilihan raya diadakan.

Semasa berkempen, Berlusconi mengelakkan perhimpunan besar-besaran dan hanya muncul sekali bersama sekutu-sekutu dalam pakatan politiknya.

Namun, beliau kerap muncul di televisyen, radio dan akhbar dengan sebahagian media itu adalah miliknya menerusi empayar perniagaan Fininvest.

Sepanjang kerjaya politiknya, Berlusconi berkhidmat sebagai Perdana Menteri Itali sebanyak tiga kali dan pernah memiliki kelab bola sepak ternama, AC Milan.

Berlusconi menjadi terkenal di seluruh dunia kerana kesilapannya yang kelakar dan memalukan di samping kehidupan peri­badi yang diwarnai parti seks dikenali sebagai ‘bunga-bunga’.

Berlusconi lahir pada tahun 1936 di Milan. Bapanya merupakan seorang pekerja bank, manakala ibunya pula ialah seorang suri rumah tangga.

Beliau pernah bekerja sebagai seorang penyanyi di sebuah kapal pelayaran sebelum menceburi kerjaya menguntungkan dalam sektor pembinaan, seterus­nya melancarkan tiga saluran televisyen nasional.

Beliau juga membeli kelab AC Milan yang dijualnya pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Itali berdepan senario ‘Parlimen tergantung’ semalam berikutan tiada mana-mana parti politik mendapat kemenangan majoriti.

Dengan lebih 75 peratus undi sudah dikira, parti Liga Utara mendapat 37 peratus undi di­ikuti parti Gerakan 5-Bintang dengan 31 peratus undi. – AFP/Reuters