“Anggota-anggota penyelamat mendengar bunyi tangisan. Bayi itu terselamat ke­rana diletakkan dalam buaian dan dibalut tebal supaya dia tidak sejuk,” kata Gabenor Wilayah Chelya­binsk, Boris Dubrovsky dalam akaun Telegramnya.

“Bayi perempuan berumur 11 bulan itu dibawa ke hospital dan diperiksa jika me­ngalami retak tulang. Bayi itu dalam keadaan sedar dan dijangka sembuh,” kata seorang doktor kepada agensi berita TASS.

Sebahagian daripada pangsapuri 10 tingkat itu runtuh dalam satu letupan gas pagi Isnin lalu di bandar perindustrian Magnitogorsk di Pergunungan Ural, hampir 1,700 kilometer ke timur Moscow.

Bayi perempuan itu ditemui selepas pasukan penyelamat terpaksa menangguhkan usaha mencari ber­puluh-puluh mangsa yang hilang di bawah runtuhan tersebut kerana khuatir keseluruhan bangunan pangsapuri itu akan turut runtuh.

Anak kecil itu mengharu­ngi suhu sejuk ekstrem -27 Celsius sepanjang malam Isnin lalu. Insiden itu telah meragut sekurang-kurang­nya 14 nyawa setakat semalam dengan hanya enam mangsa ditemui masih hidup termasuk seorang budak lelaki berusia 13 tahun. – AFP