Charlotte Evans, 30, dan suaminya, Lewis, 33, dari pekan High Wycombe, England terkejut menyambut kelahiran bayi perempuan mereka, Daisy yang mempunyai rambut lebat siap dengan gaya rambut Beckham dari sekitar tahun 2000.

Beckham, 44, yang pernah menyertai pasukan Machester United, Real Madrid dan LA Galaxy memang terkenal memperagakan pelbagai gaya rambut sepanjang 21 tahun penyertaannya dalam dunia bola sepak.

Beberapa keping gambar Daisy selepas 12 hari dilahirkan menunjukkan bayi itu mempunyai rambut perang gelap dengan sedikit warna putih di hujung rambutnya.

“Anak kami memang kelihatan seperti memperagakan gaya rambut Beckham. Ia sangat comel. Bayi saya memang kelihatan seperti bintang bola sepak itu,” kata Charlotte.

Charlotte mendakwa rambut anaknya turut menjadi perhatian warga hospital tempat dia bersalin sehingga bidan yang menyambut kelahiran Daisy memaklumkan kepadanya perkara seumpama itu tidak pernah berlaku sepanjang 44 tahun wanita itu menyambut ribuan kelahiran.

Pasangan suami isteri itu bagaimanapun menjangkakan warna dan gaya rambut Beckham berkenaan akan hilang apabila Daisy semakin membesar tetapi mereka sendiri tidak dapat menjangkakan warna rambut semula jadi bayi tersebut kelak. – Agensi