Selepas 48 tahun, pakar NASA mendakwa batu yang dibawa pulang untuk analisis lanjut itu adalah mendapati ia merupakan sebahagian daripada kerak Bumi yang terpelanting ke Bulan selepas sebuah asteroid atau komet besar menghentam planet ini.

Penyelidik NASA percaya impak pelanggaran lebih empat bilion tahun lalu telah mencampakkan ketulan batu tersebut ke angkasa lepas. Ia kemudian mendarat di permukaan Bulan yang ketika itu dipercayai tiga kali ganda lebih dekat dengan Bumi berbanding sekarang.

Sebahagian batu tersebut melebur sekitar 3.9 bilion tahun dahulu dan tertanam di bawah lapisan Bulan. Ia dipercayai timbul semula ke permukaan selepas sebuah asteroid menghentam Bulan kira-kira 26 juta tahun lalu sehingga membentuk struktur dikenali sebagai Kawah Cone.

Batu itu menjadi kristal kira-kira 20 kilometer di bawah permukaan Bumi antara empat hingga 4.1 bilion tahun lalu ketika planet ini baru terbentuk sebelum ia ‘terbang’ ke Bulan. – Agensi

CHIHUAHUA, Mexico – Sepasukan doktor Mexico melakar sejarah baharu apabila menggunakan tukul dan pahat perubatan bagi membuang ketumbuhan sebesar bola keranjang dengan berat 3.3 kilogram pada muka seorang pelajar bidang kejuruteraan di Bandar Raya Mexico baru-baru ini.

Adrián Espino, 23, dari sini mendapati ketumbuhan itu membesar selepas dia mengalami bengkak kecil pada pipi kanannya ketika berusia enam tahun kerana menghidap kanser tulang yang jarang ditemui dikenali sebagai fibrous dysplasia.

Tulang dalam ketumbuhan di mukanya terlalu keras sehinggakan doktor terpaksa menggunakan tukul dan pahat perubatan untuk memotong dan membuangnya sedikit demi sedikit.

Espino sebelum ini banyak menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan itu namun gagal. Masalah dihadapinya semakin buruk apabila dia sukar bernafas, kabur penglihatan dan sukar untuk makan.

Kehidupan pemuda itu kini semakin baik selepas pembedahan terakhirnya dan hanya menunggu masa untuk menjalani pembedahan plastik pada bahagian muka kanannya yang dahulu dimamah sel kanser. – Agensi