Pening­katan ke­tegangan diplomatik berkaitan insiden itu me­nyaksikan May memberitahu Parlimen Britain bahawa agen saraf yang diguna untuk meracuni Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia merupakan racun kegunaan tentera buatan Rusia.

Kata May, Moscow pernah menggunakan kumpulan agen saraf yang dikenali sebagai Novichok itu termasuk dalam pembunuhan tajaan negara dan menganggap pembelot seperti Skripal sebagai sasaran wajar.

“Kerajaan ini (Britain) membuat keputusan bahawa berkemungkinan besar Rusia bertanggungjawab dalam tindakan terhadap Sergei dan Yulia,” katanya.

Beliau menambah, Britain memberi tempoh kepada Rusia hingga lewat semalam untuk mendedahkan butiran program penghasilan agen saraf Novichok kepada Pertubuhan Lara­ngan Senjata Kimia.

Sekiranya tiada maklum balas wajar, London akan merumuskan bahawa negara Rusia telah menggunakan kekerasan ke atas United Kingdom.

May juga berjanji untuk menggariskan ‘semua langkah yang ada’ bagi menghadapi Kremlin.

Sementara itu, Amerika Syarikat menyatakan bahawa ia mempunyai keyakinan penuh berhubung keputusan Britain itu.

“Kami bersetuju bahawa mereka yang bertanggungjawab termasuk pelaku dan dalangnya mesti menanggung akibatnya,” kata Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson.

Cubaan membunuh Skripal dan anak perempuannya di barat daya England berlaku pada 4 Mac lalu.

Bekas ejen Rusia itu dan anak perempuannya yang berusia 33 tahun berada dalam keadaan kritikal di hospital selepas me­reka ditemui tidak sedarkan diri di sebuah bangku di luar pusat beli-belah di bandar Salibury.

Terdahulu, Kremlin melabelkan tuduhan May sebagai ‘pertunjukan sarkas’ dan cubaan untuk menggugat kepercayaan antarabangsa menjelang temasya bola sepak Piala Dunia yang akan diadakan di Moscow tahun ini. – AFP