Latihan tentera selama seminggu digelar Vostok-2018 (Timur-2018) itu bermula di rantau timur jauh Rusia dan Lautan Pasifik, kata Kementerian Pertahanan Rusia dalam satu kenyataan.

Kementerian itu menyiarkan rakaman video menunjukkan deretan kenderaan tentera, pesawat, helikopter dan kapal perang yang melakukan formasi untuk fasa awal latihan tentera tersebut.

Latihan itu yang turut disertai oleh tentera China dan Mongolia itu bagaimanapun dikecam oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai persediaan untuk konflik berskala besar.

Presiden Vladimir Putin dijangka menghadiri Vostok-2018 selepas menjadi hos sebuah forum ekonomi di bandar Vladivostok, timur Rusia yang juga dihadiri oleh rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping.

Latihan tentera itu diadakan ketika ketegangan antara Moscow dan Barat semakin meruncing. Barat menuduh Rusia campur tangan dalam hal ehwal blok itu dan konflik berterusan di Ukraine serta Syria.

Tentera Rusia menyamakan Vostok-2018 dengan latihan tentera bekas negara Kesatuan Soviet (USSR) pada 1981, Zapad-81 (Barat-81) yang disertai oleh 100,000 hingga 150,000 askar Pakatan Warsaw sekali gus latihan tentera terbesar era USSR.

Bagaimanapun, Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu berkata, latihan tentera kali ini adalah lebih besar dengan penyertaan seramai 300,000 askar, 36,000 ken­deraan tentera, 1,000 pesawat dan 80 kapal perang.

“Bayangkan sebanyak 36,000 kenderaan tentera bergerak pada masa yang sama termasuk kereta kebal, kereta perisai dan kenderaan tempur infantri,” kata Shoigu.

Tentera Rusia turut menampilkan senjata terbaharunya dalam latihan tentera itu seperti peluru berpandu berkeupayaan nuklear Iskander , kereta kebal T-80 dan T-90 serta pesawat Su-34 dan Su-35. – AFP