Hujan lebat turut menyebabkan tanah runtuh di bandar-bandar penampan di sekitar Jakarta dengan lapan orang hilang dalam bencana itu di sekitar bandar Bogor, kata polis.

Rakaman televisyen semalam menunjukkan orang ramai meranduk air berlumpur di beberapa kejiranan di kota ra­ya Jakarta.

Anies berkata, kira-kira 6,500 orang telah dipindahkan selepas air bah menenggelamkan beberapa kawasan di selatan dan timur Jakarta.

“Kami sedang memastikan bahawa semua mangsa yang dipindahkan menerima bantuan,”­ kata Anies dalam satu kenyataan sambil menambah, air telah surut di pintu pelepasan banjir Manggarai di ibu negara Indonesia berkenaan.

Kelmarin rakaman televisyen memaparkan air sungai yang berlumpur mengalir deras di jalan-jalan raya, menumbangkan pokok-pokok dan memusnahkan beberapa vila di kawasan berbukit sekitar Jakarta.

Pihak berkuasa juga terpaksa melepaskan air dari takungan hulu sungai di bandar Bogor selepas air mencecah paras amaran tertinggi.

Anggota polis dan tentera juga bekerjasama dengan sukarelawan untuk membantu mangsa banjir. Pihak berkuasa Jakarta telah berusaha untuk mengatasi masalah banjir semasa musim hujan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2007, lebih 50 orang terkorban akibat banjir teruk di Jakarta, manakala lima tahun lalu hampir keseluruhan pusat kota raya itu dinaiki air banjir. 
– Reuters