Lebih 20 sentimeter (sm) atau 8 inci hujan turun di Bandar Ellicott Ahad lalu sekali gus mencetuskan banjir kilat. Tembok air setinggi ba­ngunan dua tingkat melanda jalan utama, Main Street dan memusnahkan banyak kenderaan.

Dua tahun lalu, bandar itu menerima taburan hujan sebanyak 16.5sm atau 6.5 inci dalam masa tiga jam dengan 13.9 sm hujan itu turun dalam tempoh hanya 90 minit, kata Perkhidmatan Kaji Cuaca Nasional. Fenomena itu digelar sebagai ‘hujan sekali dalam 1,000 tahun’.

Ahli meteorologi laman AccuWeather, Brian Lada mempertahankan statistik tersebut. Statistik itu, katanya, menerangkan tentang kebarangkalian hujan lebat yang berlaku dan tidak semestinya mengakibatkan banjir.

“Peristiwa ini sudahlah amat jarang dan berlaku pula selang dua tahun. Namun, fenomena sekali dalam 1,000 tahun ini tidak mengambil kira keadaan topografi kawasan tersebut,” katanya.

Menurut Lada, bandar itu tiada daya untuk menahan banjir kilat pada Ahad lalu. Air dari empat anak sungai melimpah dan melanda Bandar Ellicott ketika menghala ke Sungai Patapsco.

“Banjir paling buruk berlaku di Main Street,” kata Lada.

Tambahnya, paras air sungai dekat bandar itu meningkat dengan mendadak hampir 5.4 meter dalam masa dua jam sekali gus paras tertinggi dalam sejarah.

“Bandar Ellicott menerima taburan hujan untuk dua bulan dalam masa hanya dua jam,” jelas Lada.

Bagaimanapun, beliau enggan mengaitkan hujan lebat itu dengan pemanasan global kerana me­nganggap fenomena cuaca tersebut sebagai kes terpencil. – Agensi