Taufan Son Tinh yang merupakan ribut tropika ketiga membadai Vietnam sejak awal tahun ini, tiba di daratan pada malam Rabu lepas. Taufan itu merosakkan infrastruktur dan memusnahkan tanaman di wilayah Thanh Hoa dan Nghe An.

Hujan lebat berterusan turun selepas ketibaan taufan itu yang mengakibatkan banjir dan tanah runtuh berlaku di beberapa kawasan di negara tersebut termasuk ibu kotanya, Hanoi.

Menurut laporan online terkini pejabat pengurusan bencana, sekurang-kurang­nya 10 orang disahkan mati dan 11 lagi hilang di wilayah pergunungan Yen Bai dan Thanh Hoa.

Kira-kira 4,000 buah rumah rosak dan puluhan ribu hektar tanaman musnah, kata pejabat pengurusan bencana dalam laporannya sambil menambah, lebih ba­nyak hujan lebat diramalkan turun.

Media pemerintah menyiarkan gambar banjir di kawasan pedalaman di mana penduduk kampung terpaksa menggunakan bot untuk bergerak.

“Beberapa komuniti masih terkandas,” demikian menurut laporan itu.

Di Hanoi pula, air banjir menenggelamkan sejumlah jalan di bandar itu.

“Kami terpaksa memindahkan semua perabot kami ke tingkat atas kerana tingkat bawah digenangi air,” kata warga Hanoi, Tran Anh Huong kepada agensi berita AFP.

“Kami semua terperangkap di dalam rumah,” tambahnya.

Musim hujan di Vietnam berlaku antara bulan Jun hingga November.

Pada tahun lalu, bencana alam di negara itu meragut 389 nyawa, manakala kerugian harta benda dianggarkan mencecah AS$2.6 bilion (RM10.5 bilion), kata pemerintah. – AFP