Tindakan tersebut dilakukan ketika pemerintah cuba menghentikan bantahan besar-besaran oleh pelajar yang bertukar ganas.

Kumpulan pelajar me­nunjuk perasaan sejak seminggu lalu dan me­ngakibatkan beberapa kawasan di ibu kota Bangladesh, Dhaka lumpuh. Mereka membantah kelemahan dalam aspek keselamatan jalan raya selepas dua remaja maut dilanggar sebuah bas yang memecut laju.

Kelmarin, bantahan bertukar ganas di kejiranan Jigatala, Dhaka yang mengakibatkan lebih 100 orang cedera.

Saksi-saksi berkata, polis menembak peluru getah dan gas pemedih mata terhadap kumpulan penunjuk perasaan. Saksi-saksi itu juga me­nuduh aktivis prokerajaan menye­rang golongan belia termasuk mereka yang cuba mendapat rawatan di hospital berhampiran.

Akhbar edaran tertinggi Bangladesh, Prothom Alo melaporkan, per­khidmatan internet 3G dan 4G ditutup selama 24 jam sejak lewat kelmarin selepas keganasan tercetus.

Langkah itu dipercayai merupakan percubaan untuk membataskan ke­upayaan pelajar berkumpul atau menyebarkan mesej kemarahan berhubung cara kerajaan menangani penunjuk perasaan, beberapa jam selepas polis dan kumpulan lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan kayu serta batu bertempur dengan pelajar.

Sektor pengangkutan Bangladesh dianggap sebagai berbahaya, korup dan tidak dikawal selia. Penyebaran berita me­ngenai kematian remaja itu di media sosial menjadi punca meningkatnya kemarahan orang ramai terhadap pemerintah. 
– AFP