Merekodkan hampir 23 juta pelawat antarabangsa tahun lalu, ibu kota Thailand itu mengatasi kota Paris dan London yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dengan kunjungan lebih 19 juta pelancong.

Bandar lain yang berada di kedudukan teratas ialah Dubai (15.93 juta pelancong asing), Singapura (14.67 juta), Kuala Lumpur (13.79 juta) dan New York (13.60 juta).

Laporan Mastercard menyatakan, bilangan pelancong antarabangsa mencatatkan pertam­bah­an besar, meningkat 76 peratus sejak tahun 2009.

Sembilan daripada 10 bandar raya di tangga teratas pada 2018 itu menyaksikan pertambahan bilangan pelawat berbanding tahun sebelumnya kecuali London. Ibu kota Britain tersebut merekodkan penurunan empat peratus bilangan pelancong asing tahun lalu.

Dubai mengungguli senarai itu dari sudut perbelanjaan dengan pelancong luar berbelanja purata AS$553 (RM2,236) sehari, manakala perbelanjaan keseluruhan pelawat pada tahun 2018 pula menghampiri AS$31 bilion (RM130 bilion).

Kota suci Mekah dan Bangkok menduduki tempat kedua serta ketiga dalam aspek perbelanjaan pelancong.

Diwujudkan pada tahun 2011, laporan Bandar Destinasi Global itu menyenaraikan 200 buah bandar di seluruh dunia berdasarkan ketibaan pelancong dan perbelanjaan rentas sempadan. – AFP