Ribuan penunjuk perasaan daripada kumpulan pelampau dikenali sebagai Tehreek-i-Labaik Ya Rasoll Allah Pakistan (TLYRAP) telah meng­halang lebuh raya utama sejak 6 November lepas menyebabkan ke­sesakan lalu lintas berjam-jam dan melumpuhkan ibu negara selama seminggu.

Asap dan gas pemedih mata me­menuhi udara ketika kira-kira 8,500 anggota polis elit dan se­para tentera lengkap dengan pakaian seragam antirusuhan berusaha menyuraikan lebih 2,000 perusuh.

Wartawan AFP di lokasi berkata, lebih ramai penunjuk perasaan menyertai kumpulan terbabit menyebabkan sukar untuk dianggarkan bilangan mereka. Pokok-pokok telah ditebang untuk menyekat jalan dan perusuh membakar tayar-tayar.

Sekurang-kurangnya 110 orang yang cedera telah dibawa ke Institut Sains Perubatan Pakistan di Islamabad, kata jurucakap hospital memberitahu AFP, sambil menambah bahawa 66 daripadanya merupakan anggota keselamatan.

Jurucakap polis Islamabad mengesahkan bahawa seorang anggota polis terbunuh dalam pertempuran selepas sebiji batu mengenai kepalanya. Rakaman televisyen menunjukkan van polis dan khemah perusuh terbakar.

Penunjuk perasaan menuntut Menteri Keadilan Pakistan, Zahid Hamid meletak jawatan selepas membuat pindaan undang-undang mewajibkan calon pilihan raya mengangkat sumpah.

Mereka telah mengaitkan tindakan itu sebagai kufur, satu isu perbalahan Muslim Pakistan dan menuntut sumpah itu diringankan bagi membolehkan penyertaan Ahmadis, mazhab minoriti Islam yang telah lama dianiaya. – AFP