Kempen itu, Earth Hour bermula di Australia pada tahun 2007 dan disertai berjuta-juta penyokong di 187 negara yang memadamkan lampu mereka tepat pukul 8.30 malam dalam acara yang disifatkan oleh penganjur sebagai gerakan akar umbi terbesar terhadap perubahan iklim.

“Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepen­tingan melindungi alam sekitar dan hidupan liar,” kata penganjur Earth Hour, Dermot O’Gorman yang juga ketua Tabung Hidupan Liar Dunia.

Di Paris, Menara Eiffel diselubu­ngi kegelapan ketika Presiden Emmanuel Macron menggesa orang ramai turut terlibat dan ‘membuktikan bahawa anda sanggup berjuang demi alam semula jadi.’

“Masa untuk penafian sudah lama berlalu. Kita tewas bukan sahaja perang menentang perubahan iklim tetapi juga perang kita terhadap kemusnahan kepelbagaian bio,” katanya di laman Twitter.

Dataran Red Square Moscow turut kelam, manakala komponen Rusia di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa memalapkan lampunya, lapor agensi berita Ria Novosti.

Dalam pada itu, imej di seluruh Asia menunjukkan bangunan termasuk Menara Kembar Petronas di samping pencakar langit terkenal di Hong Kong dan Singapura turut bergelap, tanda sokongan kepada kempen tersebut.

Bangunan Empire State di New York pula memancarkan cahaya malap untuk menandakan Earth Hour.

Dalam kenyataan beliau mengenai inisiatif global itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres berkata, Earth Hour disambut ketika Bumi dan manusia berdepan tekanan hebat.

“Sumber dan ekosistem di dunia kini diserang. Earth Hour memberi peluang menunjukkan komitmen kita untuk berubah,” katanya. – AFP