“Jumlah yang mungkin terjejas akibat langkah tersebut mungkin 60 imam,” kata Menteri Dalam Negeri, Herbert Kickl daripada parti haluan kanan, Parti Kebebasan, rakan kecil dalam kerajaan gabungan Austria.

Sejumlah 150 orang berdepan risiko kehilangan hak penduduk mereka, kata beliau pada sidang akhbar di Vienna.

Turki segera mengecam tindakan tersebut.

“Keputusan Austria menutup tujuh buah masjid dan menghantar pulang imam-imam dengan alasan lapuk me­nunjukkan sikap anti-Islam, rasis dan gelombang populis diskriminasi di negara itu,” menurut jurucakap Presi­den Turki, Ibrahim Kalin di Twitter.

Tujuh masjid itu ditutup selepas satu siasatan oleh pihak berkuasa hal ehwal keagamaan berhubung kemunculan gambar kanak-kanak berlakon mati pada April lalu termasuk serta melakonkan semula pertempuran Perang Dunia Pertama di Gallipoli.

“Kumpulan imigran, politik Islam dan radikalisasi tidak ada tempat di negara kami,” kata Canselor Sebastian Kurz daripada Parti Rakyat.

Proses bagi mengusir sejumlah kes membabitkan imam yang mempunyai kaitan dengan Persatuan Kebudayaan Islam Turki (ATIB) sedang dilaksanakan, kata Kickl.

Katanya, kerajaan mengesyaki golo­ngan itu melanggar sekatan pembiayaan asing membabitkan institusi keagamaan. ATIB merupakan satu cabang agensi hal ehwal keagamaan Turki, Diyanet.

Koleksi gambar kanak-kanak itu yang disiarkan oleh majalah mingguan Falter menunjukkan mereka memakai pakaian kostum seragam sambil berarak, memberi tabik hormat, mengibarkan ben­dera Turki sebelum berlakon mati.

‘Mayat’ mereka kemudian disusun dan dilitupi bendera. Masjid yang terlibat dikendalikan oleh ATIB yang turut mengutuk gambar-gambar itu. – AFP