Penggubalan undang-undang tegas itu akan dibentangkan di Parlimen pada minggu depan pada ketika Canberra mendesak supaya syarikat-syarikat media untuk menghalang platform daripada dijadikan ‘senjata’ oleh pengganas susulan insiden serangan pembunuhan di masjid Christchurch.

Satu video penstriman langsung menerusi Facebook berdurasi 17 minit pada 15 Mac lalu menunjukkan kejadian sera­ngan berdarah yang meragut 50 nyawa umat Islam dan paparan itu boleh ditonton secara atas talian dengan meluas.

Pakar-pakar menyatakan klip video itu boleh ditarik balik de­ngan mudah dalam tempoh beberapa jam selepas serangan.

“Syarikat-syarikat media sosial mempunyai tanggungjawab untuk semua tindakan kemungkinan bagi memastikan produk-produk teknologi tidak disalahgunakan oleh pengganas pembunuh,” kata Perdana Menteri, Scott Morrison dalam satu kenyataan.

Morrison yang mengadakan pertemuan dengan sejumlah firma teknologi pada Selasa lalu termasuk Facebook, Twitter dan Google menyatakan Australia mungkin meminta negara-negara Kumpulan 20 (G20) untuk menjadikan firma media sosial supaya lebih bertanggungjawab.

Peguam negara, Christian Porter menyatakan undang-undang baharu itu menjadikan ia sebagai suatu kesalahan jenayah untuk platform yang gagal menarik balik dengan kadar segera ‘material keganasan dibenci’ seperti serangan keganasan, pembunuhan dan rogol.

Eksekutif media sosial boleh dipenjara sehingga tiga tahun jika gagal berbuat demikian, katanya. Platform media sosial yang meraih keuntungan berjumlah berbilion-bilion dolar setahun akan didenda hingga 10 peratus daripada kadar pusing ganti tahunan masing-masing. – AFP