Pengecualian adalah terhadap 22 atlet dari Korea Utara.

Penaja utama Olimpik Musim Sejuk, Samsung Electronics menawarkan 4,000 telefon pintar Galaxy S8 yang direka khas untuk temasya itu kepada semua atlet yang mengambil bahagian.

“Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa akan mengagihkannya,” kata seorang jurucakap Samsung Electronics.

Namun, Korea Selatan tidak pasti sama ada atlet Korea Utara boleh menerima hadiah itu susulan sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB), kata seorang penganjur Olimpik.

Pegawai berkenaan enggan mengulas lanjut tetapi pakar-pakar berkata, pemberian telefon pintar itu melanggar sekatan PBB yang melarang penjualan barangan mewah dan elektronik untuk penggunaan komersial ataupun ketenteraan.

Sementara itu, pasukan hoki wanita yang menggabungkan pemain Korea Utara dan Korea Selatan akan memakai seragam buatan syarikat Finland dan bukan jersi penaja rasmi, Nike berikutan kebimbangan mengenai sekatan AS.

Pasukan itu akan bermain sebagai sebuah negara dalam sukan tersebut untuk kali pertama.

Atlet Korea Utara tinggal di perkampungan atlet di Gangneung bersama ahli sukan dari negara-negara lain.

Setakat ini, jawatankuasa penganjuran Olimpik tidak dapat mengesahkan sama atlet Korea Utara menerima layanan khas seperti kawalan keselamatan lebih ketat.

Pasukan sorak Korea Utara yang disertai 230 anggota pula dijangka tinggal di Inje Speedium, demikian menurut Kementerian Penyatuan Korea Selatan.

Inje Speedium merupakan hotel bertaraf empat bintang. Bilik di hotel itu berharga antara 242,000 won (RM877) hingga 715,000 won (RM2,563) untuk penginapan satu malam.

Perbelanjaan besar itu bukanlah di luar jangkaan. Seoul pernah membelanjakan sebanyak 1.3 bilion won (RM4.66 juta) untuk atlet Korea Utara semasa menjadi tuan rumah Sukan Asia dalam tahun 2002. – REUTERS