Saiz batu angkasa lepas yang berpotensi mendatangkan bahaya itu begitu besar sehingga boleh meninggalkan kawah sebesar 4.8 kilometer persegi dan menyebabkan kemus­nahan besar sekiranya ia menghentam planet ini.

Dinamakan 2019 GT3 dan sebesar sebuah pencakar langit, meteor itu memiliki diameter 300 meter. Meteor 2019 GT3 akan bergerak melintasi Bumi pada kelajuan 49,084 kilometer sejam.

Jika batu angkasa lepas tersebut mengubah arah dan menuju ke Bumi, ia tidak akan hancur di atmosfera kerana saiznya yang besar.

Asteroid itu diramal menghampiri Bumi pada kadar 0.04996 unit astronomikal atau sekitar 7.4 juta kilometer dari Bumi, meletakkannya dalam kategori asteroid berpotensi berbahaya (PHA). Terma PHA digunakan oleh ahli-ahli astronomi untuk menggambarkan objek yang mungkin menghampiri Bumi secara berbahaya, jelas Pusat Pengajian Objek Berhampiran Bumi NASA.

Pertembungan paling hampir Bumi dengan 2019 GT3 berlaku beberapa minggu selepas satu lagi pertembungan serupa melibatkan sebuah asteroid pemusnah bandar dinamakan 2019 OK, yang hanya dikesan saintis beberapa jam sebelum ia melintasi Bumi. – AFP