EVANINA
EVANINA

Ketua Pusat Keselamatan dan Antiperisikan Kebangsaan AS, William Evanina memberitahu Reu­ters dalam satu temu bual bahawa perisikan dan penguat kuasa undang-undang telah memberitahu LinkedIn yang dimiliki oleh Microsoft mengenai usaha agresif China di platform tersebut.

Katanya, kempen China termasuk menghubungi ribuan pemilik akaun LinkedIn pada satu-satu masa, namun enggan mendedahkan berapa jumlah akaun palsu yang dikesan perisikan AS, jumlah rakyat negara itu yang dihubungi dan bagaimana kejayaan China dalam usaha merekrut berkenaan.

Pihak berkuasa Jerman dan Britain sebelum ini pernah memberi amaran terhadap rakyat negara itu bahawa Beijing menggunakan LinkedIn dalam usaha merekrut mereka menjadi perisik.

Namun, ini kali pertama pegawai AS secara rasmi membincangkan cabaran tersebut di negara itu dan menunjukkan ia merupakan masalah yang lebih besar daripada yang diketahui selama ini.

Evanina berkata, LinkedIn perlu meneliti salinan respon Twitter, Google dan Facebook yang kebanyakannya dipenuhi akaun palsu yang mempunyai kaitan dengan agensi perisikan Iran dan Rusia.

“Saya baru-baru ini melihat Twitter memba­talkan, saya tidak tahu, berjuta-juta akaun palsu dan permohonan kami, mungkin LinkedIn boleh melaksanakan usaha tersebut,” kata Evanina.

Ia sangat sukar buat seorang pegawai kanan pe­risikan AS untuk menama­kan setiap satu syarikat negara itu dan mengesyorkan secara umum supaya diambil tindakan.

LinkedIn berkata, ia mempunyai 575 juta pengguna di lebih 200 daerah dan kawasan, termasuk lebih 130 juta pengguna di AS.

Sementara itu, Ketua Keselamatan dan Keyakinan LinkedIn, Paul Rockwell mengesahkan syarikat itu telah berbincang dengan agensi penguat kuasa undang-undang mengenai usaha pengin­tipan China.

Awal bulan ini, LinkedIn telah menutup lebih 40 akaun palsu yang digunakan untuk menghubungi ahli lain dengan organisasi politik yang tidak dikenali. Namun, Rockwell tidak menyatakan adakah ia melibatkan akaun dari China.

“Kami melakukan setiap perkara yang mampu untuk mengesan dan menghentikan aktiviti ini,” katanya. – Reuters