“Mungkin jelas bahawa putera mahkota itu tahu berkenaan insiden tragis ini. Mungkin beliaulah yang mengarahkannya atau mungkin juga tidak!” kata Trump dalam satu kenyataan.

“Kita mungkin tidak akan tahu kesemua fakta mengenai pembunuhan Jamal Khashoggi. Walau apa pun, kami tetap bersama kerajaan Arab Saudi. AS akan terus menjadi sahabat (Riyadh),” tambahnya.

Pembunuhan kejam Jamal amat memalukan Washington. Bekas wartawan Arab Saudi yang hidup dalam bua­ngan di AS itu hilang selepas mengunjungi kon­sulat Arab Saudi di Istanbul, Turki pada 2 Oktober lalu.

Pembunuhan itu menjejaskan kempen diterajui oleh MBS untuk me­nunjukkan kepada dunia bahawa Arab Saudi me­ngorak langkah ke arah pembaharuan.

Ia juga mempersoalkan strategi White House yang mahu menjadikan MBS sebagai rakan kongsi utamanya di rantau Asia Barat.

Trump sejak beberapa minggu lalu enggan menerima bukti penglibatan kerajaan Arab Saudi dalam pembunuhan Jamal dan dakwaan bahawa pembunuhan itu diarahkan oleh MBS.

Bagaimanapun, susu­lan laporan akhbar New York Times bahawa Agensi Perisikan Pusat (CIA) merumuskan bahawa MBS terlibat, tumpuan kini beralih kepada sama ada Trump akan menghukum sekutunya itu atau mencari cara untuk menutup mata.

Dalam kenyataannya yang disiarkan oleh pejabat akhbar White House, Trump memi­lih untuk berdiam diri dengan alasan bahawa hubungan AS-Arab Saudi adalah lebih penting berbanding kemungkinan penglibatan MBS dalam jenayah tersebut.

Terdahulu, Riyadh me­nafikan sekeras-keras­nya penglibatan putera mahkota berkenaan dalam pembunuhan Jamal Khashoggi. – AFP