White House berkata, kenaikan tarif dari 10 hingga 20 peratus ke atas barangan China bernilai AS$200 bi­lion (RM835 bilion) yang sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Januari depan akan ditangguhkan selama 90 hari.

“Sekiranya pada tarikh akhir itu, kedua-dua pihak masih gagal mencapai persetujuan, maka, tarif sebanyak 10 peratus akan dinaikkan menjadi 25 peratus,” kata White House dalam satu kenyataan selepas majlis makan malam antara Presiden Donald Trump dan rakan sejawatnya, Xi Jinping dalam satu acara sampingan pada sidang kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Buenos Aires.

Trump melontarkan kritikan keras terhadap China sejak beberapa bulan lalu termasuk menuduh Beijing campur tangan dalam pilihan raya AS. Beliau, bagaimanapun, menyifatkan pertemuan terbarunya dengan Jinping itu sebagai ‘hebat dan produktif’.

Terdahulu, China mengesahkan kerangka persetujuan tersebut dan menyatakan, pegawai kedua-dua negara akan berusaha untuk menyelesaikan pelbagai isu melibatkan sengketa perdagangan dua hala.

Dalam perkembangan berkaitan, White House berkata, China juga akan ‘segera’ meningkatkan pembelian produk pertanian AS tanpa mendedahkan jumlah yang dipersetujui.

Sebelum ini, ketika perang perdagangan antara kedua-dua negara semakin memuncak, Beijing mengurangkan pembelian kacang soya AS dan produk pertanian lain sekali gus memberikan tamparan kepada petani negara kuasa besar itu yang menyokong Trump. – AFP