Jeneral tertinggi Washington, Joseph Dunford berkata, serangan me­ngenai sasaran berhampiran Damsyik dan wilayah Homs termasuk pusat penyelidikan saintifik, fasiliti penyimpanan dan pos kawalan.

Koresponden AFP di bandar itu mendengar letupan berterusan pada pukul 4 pagi diikuti deruman kapal terbang di udara. Asap tebal kemudian dilihat dari arah utara dan timur Damsyik.

AS dan sekutunya dipercayai membedil 103 peluru berpandu termasuk jenis Tomahawk dan tentera Rusia menyatakan sebanyak 71 daripadanya berjaya dipintas oleh pasukan pertahanan Syria.

“Lebih 100 peluru berpandu dari kapal laut dan udara dilancarkan oleh AS, Britain dan Perancis terhadap tentera Syria dan orang awam,” kata Kementerian Pertahanan Rusia, dalam satu kenyataan yang dipetik agensi berita RIA Novosti.

Trump sebelum ini memberi amaran akan melancarkan serangan balas bagi memusnahkan keupayaan senjata kimia Bashar.

Katanya, serangan senjata kimia yang dilancarkan di bandar Douma minggu lalu menyebabkan lebih 40 orang mati suatu yang tidak boleh dibiarkan.

“Pembunuhan itu menunjukkan wujudnya peningkatan dalam corak penggunaan senjata kimia oleh rejim yang sangat kejam.

“Kejahatan dan kekejaman memisahkan ibu dan ayah, bayi dan kanak-kanak menyebabkan mereka menanggung kesakitan dan sukar bernafas. Ini semua bukan tindakan seorang lelaki. Sebaliknya, ini adalah perbuatan penjenayah raksasa,” kata Trump. – AFP