Kedutaan AS dikatakan dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis pada 14 Mei ini sempena sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan ke-70 rejim Israel tersebut.

“Kami berasa amat teruja untuk mengambil langkah bersejarah ini dan menjangka pembukaan kedutaan itu pada 14 Mei ini,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Heather Nauert.

Kedutaan di Baitulmuqaddis itu dikatakan akan diperbesarkan secara berperingkat dengan menggunakan kemudahan konsul sedia ada di kawasan kejiranan Arnona, namun pencarian tapak kekal telah dimulakan untuk jangka masa panjang.

Kedutaan sementara itu pada pe­ringkat awal akan dilengkapi dengan ruang pejabat dan sekumpulan kecil kakitangan.

Pengumuman pembukaan pejabat kedutaan pada Mei itu adalah di luar jangkaan kerana Naib Presiden AS, Mike Pence bulan lalu menyatakan bahawa perpindahan akan cuma dibuat pada akhir 2019.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan pengumuman AS sebagai hari bersejarah untuk rakyat Israel.

Konsulat di Baitulmuqaddis Timur dikatakan akan terus berkhidmat untuk penduduk Palestin, sebaliknya atas dasar keselamatan, Duta Besar AS, David Friedman akan terus menetap di kediamannya di Herzliya, utara Tel Aviv.

Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pada Disember tahun lalu bahawa AS mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel sekali gus membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia. – Reuters