“Tumpuan (AS) adalah kepada perang psikologi terhadap Iran dan rakan-rakan perdagangannya,” kata Javad.

Presiden Donald Trump me­ngundurkan AS daripada perjanjian nuklear Iran bersama kuasa besar dunia pada Mei 2015 dan menguatkuasakan semula sekatan unilateral ke atas Iran. Pihak-pihak lain yang menandatangani perjanjian tersebut bagaimanapun terus berusaha mencari jalan untuk menyelamatkan persetujuan itu.

Keputusan Trump itu mengakibatkan AS terjejas, kata Javad seperti yang dilaporkan oleh Agensi Berita Pelajar Iran (ISNA).

“Sejak Trump mengumumkan pengunduran itu sehingga sekarang, AS masih gagal mencapai matlamatnya,” tambah menteri luar itu.

Washington mahu mencapai matlamat untuk memaksa Teheran menamatkan program nuklear dan sokongannya kepada kumpulan militan di Syria serta Iraq.

Javad juga berkata bahawa perjanjian nuklear itu sebelum ini membawa kepada konflik politik dalaman di Iran.

“Terdapat sesetengah negara yang memilih perang politik dan tidak mahu menggunakan peluang yang diketengahkan menerusi perjanjian nuklear tersebut,” kata Javad menurut ISNA.

“Perang politik ini membawa kepada putus asa dan kekecewaan (AS),” tambahnya.

Pengkritik-pengkritik perjanjian itu pula membidas Presiden Iran, Hassan Rouhani susulan pengunduran AS tersebut de­ngan mendakwa bahawa persetujuan itu ibarat ‘menyerah diri’. 
– Reuters