“AS mengutuk sera­ngan berterusan rejim Pre­siden Bashar Al-Assad yang disokong Rusia dan Iran terhadap penduduk Ghouta Timur,” kata White House dalam satu ke­nyataan.

Washington turut menuduh Moscow tidak mematuhi resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut genca­tan senjata 30 hari diadakan di Syria.

PBB mendakwa bahawa Rusia membunuh ‘orang awam tidak berdosa’ dengan melancarkan serangan yang bertopengkan operasi antikega­nasan’.

“Ini adalah kombinasi peni­puan dan penggunaan kekerasan sama seperti yang dilakukan Rusia dan rejim Syria semasa mengepung dan memusnahkan bandar Aleppo pada 2016 di mana beribu-ribu orang awam dibunuh,” kata kenyataan itu, merujuk kepada hab ekonomi Syria suatu ketika dahulu yang musnah akibat perang saudara di negara ber­kenaan.

White House juga menggesa tentera dan militia pro-Bashar agar segera berhenti menyasarkan hospital dan orang awam di Ghouta Timur.

Tentera dan militia pro-Bashar telah menakluki lebih satu perempat Ghouta Timur yang terletak di pinggir Damsyik selepas dua minggu me­lancarkan serangan udara dan bedilan meriam yang mengakibatkan kemusnahan besar-besaran, kata Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), sebuah badan pemerhati berpangkalan di Britain.

Kemaraan yang disokong serangan udara, bedilan meriam dan roket itu dilaporkan mengorbankan lebih 650 orang awam di Ghouta Timur, manakala beribu-ribu penduduk melarikan diri ke barat wilayah berkenaan.

Sementara itu, serangan udara rejim Syria di Ghouta Timur kelmarin meragut 34 nyawa termasuk 11 kanak-kanak kata Ketua SOHR, Rami Abdel Rahman.

Beliau berkata, 26 orang maut di bandar utama Ghouta Timur, Douma dan kawasan pinggir bandar. – AFP