Beijing berkata, langkah itu, sekiranya dilaksanakan, akan memaksa ia bertindak balas bagi mempertahankan kepentingan China, perdagangan bebas dan status quo antarabangsa.

“AS tidak mempedulikan dunia. Tindakan keras dan berlembut Washington terhadap Beijing tidak akan mendatangkan kesan, malah, ia hanya akan mengecewakan semua negara dan wilayah yang menentang perang perdagangan,” kata Kementerian Perdagangan China dalam satu kenyataan sambil menambah, Beijing masih berharap situasi tersebut akan ber­ubah.

Jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang menyifatkan tindakan AS sebagai ‘peras ugut’ dan mendesak Washington supaya kembali rasional serta tidak bertindak melulu.

“Ia hanya akan menya­kitkan mereka,” katanya.

Presiden AS, Donald Trump meminta Wakil Perdaga­ngan AS untuk menimbangkan cadangan menaikkan tarif kepada 25 peratus terhadap import China berbanding cukai 10 peratus sebelum ini, kata utusan berkenaan, Robert Lighthizer kelmarin.

“Kami sangat jelas mengenai ­perubahan spesifik yang perlu China lakukan. Malangnya, di sebalik mengubah tindak-tanduk berbahaya itu, China secara haram telah bertindak balas terhadap pekerja, petani, penternak dan perniagaan AS,” kata Lighthizer dalam satu kenyataan.

AS telah mengenakan tarif 25 peratus ke atas import China bernilai AS$34 bilion (RM138 b­i­lion), manakala tarif tambahan AS$16 bilion (RM65 bilion) akan dilaksanakan dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Pada 10 Julai lalu, Washington mendedahkan senarai tambahan import China bernilai AS$200 b­ilion merangkumi pelbagai produk seperti jentera elektrik, barangan kulit dan makanan laut yang akan dikenakan duti import 10 peratus. – AFP