Sekiranya pentadbiran Trump memberi tekanan kepada kami dan membuat tuntutan satu hala agar kami melupuskan senjata nuklear, kami tidak lagi berminat untuk berunding dan akan mempertimbangkan semula sama ada akan menyertai sidang kemuncak akan datang antara AS dan Korea Utara, kata timbalan menteri luar pertama, Kim Kye-gwan dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi, KCNA.

Washington memberi tekanan terhadap Pyongyang bagi mencapai matlamat perlucutan senjata nuklear sepenuhnya tanpa boleh ditarik balik. Namun, setakat ini, Korea Utara belum memberikan sebarang bayangan sama ada ia akan menuruti kehendak Washington.

Pada satu sidang kemuncak bersama Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in bulan lalu, Jong-un mengulangi komitmennya kepada perlucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea.

Namun, janji itu merupakan ungkapan manis diplomatik dan terbuka kepada interpretasi oleh kedua-dua belah pihak.

“Kami telah menzahirkan kesanggupan kami untuk menjadikan Semenanjung Korea bebas daripada senjata nuklear dan berulang kali mengisytiharkan bahawa AS mesti menamatkan dasar permusuhan dan ancaman nuklear terhadap Korea Utara sebagai prasyarat,” kata timbalan menteri berkenaan.

Korea Utara sudah lama menyatakan bahawa ia perlukan senjata nuklear untuk melindungi negara itu daripada pencerobohan AS. – AFP