Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo berkata, Washington tidak lagi terikat pada Rundingan Nuklear Tentera Jarak Sederhana 1987 (INF) kecuali Moscow menarik balik satu sistem peluru berpandu baharu yang boleh mencetuskan ­permulaan ­persaingan senjata global.

“AS hari ini (kelmarin) mengisytiharkan Rusia melanggar perjanjian dan kami akan menggantung kewajipan kami dalam tempoh 60 hari sebagai penyelesaian, kecuali ­Rusia kembali patuh sepenuhnya,” kata Pompeo selepas perjumpaan dengan menteri-menteri luar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

“Tindakan Rusia mengancam keselamatan AS serta sekutu dan rakan kongsi kami. Tidak ma­suk akal untuk AS kekal dalam satu perjanjian yang menyekat ­keupayaan kami bertindak balas ­terhadap pelanggaran oleh Rusia,” tambahnya.

NATO menyatakan ‘terpulang kepada Rusia’ untuk menyelamatkan INF yang dilihat ramai pihak sebagai satu ­komponen penting dalam kawalan ­persaingan senjata dunia. Ketua NATO, Jens Stoltenberg pula berkata, sudah sampai masanya ­untuk berdepan ­pengakhiran INF.

Semalam, Presiden Rusia Vladimir Putin menyatakan pihaknya akan membangunkan senjata misil yang dilarang di bawah INF jika AS meninggalkan pakatan kawalan persenjataan itu dan mula menghasilkan senjata seumpamanya.

AS dan NATO mendakwa, sistem ­baharu 9M729 milik Rusia melanggar perjanjian INF yang melarang ­pembinaan peluru berpandu permukaan tanah ­dengan jarak serangan antara 500 hingga 5,500 kilo­meter.

Peluru berpandu berkemampuan ­nuklear itu boleh dialih menggunakan­ kenderaan dan sukar dikesan, malah boleh menyasarkan bandar-bandar di Eropah tanpa sebarang amaran awal sekali gus mengubah perkiraan keselamatan benua itu secara mendadak, dakwa NATO.

Presiden AS, Donald Trump pada ­Oktober lalu mengancam untuk keluar daripada perjanjian itu tetapi pada Isnin lalu, mengubah nada dan mahu berbincang bersama Presiden China, Xi Jinping serta Presiden Rusia, Vladimir Putin bagi mengelak berlakunya ­persaingan senjata.

INF adalah perjanjian dua hala antara AS dan Rusia (dahulu Kesatuan Soviet) tetapi tidak meletakkan sekatan terhadap kuasa besar lain seperti China. – AFP