Duta AS, Nikki Haley memberitahu Majlis Ke­selamatan PBB bahawa gencatan senjata yang diluluskan dua minggu lalu gagal dan mengemukakan draf resolusi baharu untuk menggesa gencatan senjata 30 hari di kawasan kumpulan penentang dan Damsyik.

“Situasi di Syria bukan gencatan senjata. Ini merupakan rejim Presiden Bashar Al-Assad, Iran dan Rusia berterusan melancarkan perang terhadap musuh mereka,” kata Haley.

Duta AS itu turut mengingatkan bahawa Presiden Donald Trump pernah mengarahkan pelancaran peluru berpandu ke atas sebuah pangkalan udara Syria pada April 2017 sebagai tindak balas terhadap serangan gas sarin yang didakwa dilancarkan rejim Bashar.

“Kami memberi amaran terhadap mana-mana negara yang cuba mencapai matlamatnya menerusi senjata kimia dan penderitaan manusia, terutama­nya rejim Syria bahawa AS sentiasa bersiap sedia untuk bertindak.

“Ia bukan jalan pilihan kami, namun ia jalan yang telah kami buktikan dan kami bersedia melakukannya lagi,” kata Haley.

“Apabila masyarakat antarabangsa gagal bertindak, ada masanya untuk sesebuah negara mengambil tindakan sendiri,” tambahnya.

Draf resolusi baharu itu menggesa gencatan senjata serta-merta berkuat kuasa di Ghouta Timur dan Damsyik selepas diluluskan oleh Majlis Ke­selamatan.

Ia bagi membenarkan akses selamat berterusan untuk konvoi kemanusiaan dan pemindahan selamat tanpa syarat kepada mereka yang cedera di Ghouta Timur. – AFP