Tindakan itu menyebabkan duta Palestin menuduh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump sebagai antiperdamaian.

Seorang pegawai kanan Jabatan Negara AS berkata, keputusan itu dibuat atas arahan Trump selepas satu penilaian dilakukan terhadap program bantuan ke atas wilayah Palestin.

Pembiayaan sebelum ini diperuntukkan untuk beberapa program di Gaza dan Tebing Barat, namun kini akan disalurkan kepada projek berkeutamaan tinggi di kawasan lain.

“Langkah itu mengambil kira cabaran yang dihadapi masyarakat antarabangsa dalam menyediakan bantuan di Gaza apabila kawalan oleh pergerakan Hamas membahayakan nyawa penduduk Gaza selain turut mempersendakan keadaan kemanusiaan dan ekonomi,” kata pegawai itu yang enggan dikenali.

Pada Januari lalu, AS telah memotong sumbangan secara drastik kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk disalurkan kepada Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pela­rian Palestin PBB (UNRWA).

Hubungan antara pentadbiran AS dan Pihak Berkuasa Palestin semakin keruh selepas Trump mengumumkan keputusan mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel.

“Pentadbiran ini hanya memisahkan visi AS sejak beberapa tahun lalu dan penglibatannya di Palestin.

“Selepas isu Baitulmuqaddis dan UNRWA, ini adalah satu lagi pengesahan untuk menolak penyelesaian antara kedua-dua negara selain menyokong agenda antiperdamaian Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu,” kata Ketua Delegasi Umum Palestin ke AS, Husam Zomlot dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ali Jawatankuasa Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Hanan Ashrawi berkata, tindakan itu jelas menunjukkan AS menggunakan ugutan murahan bagi mencapai agenda politik mereka. – AFP