Lee Yeol-eum, 23, dirakam membuat selaman untuk mencari kepah gergasi di sebuah taman marin Thailand untuk penggambaran episod ke-30 rancangan Law of the Jungle, sebuah program realiti popular di Korea Selatan.

Selepas membawa naik dua kepah gergasi dari dasar laut yang dipenuhi batu karang, Yeol-eum memegang hidupan marin itu dan menjerit: “Saya sudah menangkapnya!”

Hidupan marin itu tersenarai sebagai antara spesies terancam dan dilindungi di bawah undang-undang Thailand.

Sekeping gambar menunjukkan pelakon itu mengutip kepah berkenaan mula tersebar di internet, sekali gus menarik perhatian pihak berkuasa terhadap bintang drama bersiri My First Love.

Penggambaran filem itu dibuat pada bulan April lalu di Taman Negara Hat Chao Mai.

Ketua Taman Negara Hat Chao Mai, Narong Kongaid memberitahu agensi berita AFP bahawa beliau sudah menfailkan dua aduan pada Rabu lalu ke atas aktres berkenaan kerana melanggar undang-undang Taman Negara dan Undang-Undang Perlindungan Hidupan Liar.

“Dia kini berdepan hukuman lima tahun penjara,” katanya.

Syarikat produksi sudah mengemukakan permohonan maaf dan menyatakan ia adalah satu kes jenayah dan pihaknya tidak boleh menarik balik aduan.

Pihak polis akan memikirkan cara untuk mencari Yeol-eum walaupun pelakon itu tidak lagi berada di Thailand, kata Narong.

Selepas aduan jenayah itu difailkan kepada pihak polis, ia kini bergantung kepada pendakwa raya mahkamah untuk menentukan sama ada Yeol-eum diburu atau kes berkenaan akan digugurkan.

Aktres itu sama ada boleh dihukum penjara lima tahun di bawah Undang-Undang Taman Negara atau empat tahun jika didapati melanggar Undang-Undang Perlindungan Hidupan Liar Thailand. Kedua-dua undang-undang itu turut memperuntukkan denda sebanyak 20,000 baht (RM2,700).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat lalu, program televisyen Korea Selatan itu mengemukakan ‘permohonan maaf’ kerana tidak menyedari mengenai undang-undang hidupan liar di Thailand.