Pemberontak berkenaan, Tentera Penyelamat Rohingya Arakan (ARSA) melancarkan serangan terhadap pasukan keselamatan Myanmar pada 25 Ogos tahun lalu yang mencetuskan serangan balas tentera di Negeri Rakhine, utara Myanmar.

Operasi tentera Myanmar mencetuskan keganasan meluas termasuk tindakan membakar perkampungan etnik Islam tersebut sehingga memaksa kira-kira 650,000 penduduk Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengecam kempen ketenteraan itu sebagai penghapusan etnik, namun ditolak oleh pentadbiran Myanmar, negara yang majoriti rakyatnya beragama Buddha.

Namun, sejak serangan pada Ogos 2017, ARSA jarang melancarkan operasi baharu sehinggalah Jumaat lalu apabila pejuang-pejuangnya menyerang hendap sebuah trak tentera, mengakibatkan beberapa anggota pasukan keselamatan Myanmar cedera.

“ARSA tiada pilihan lain melainkan memerangi ‘keganasan tajaan Myanmar’ terhadap penduduk Rohingya demi mempertahankan, menyelamat dan melindungi komuniti kami,” kata kumpulan pemberontak itu dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh pemimpinnya, Ata Ullah dan dimuat naik di laman Twitter.

“Masyarakat Rohingya mesti dirujuk dalam semua keputusan yang mempengaruhi keperluan kemanusiaan dan masa depan politik mereka,” tambahnya. 
ARSA mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan pada Jumaat lalu itu, namun tidak memberikan butiran lanjut berkaitan pertempuran tersebut.

Etnik Rohingya di Myanmar dinafikan hak kerakyatan, kebebasan bergerak dan akses kepada perkhidmatan seperti penjagaan kesihatan sejak sekian lama. Yangon menganggap mereka sebagai pendatang tanpa izin dari Bangladesh. – REUTERS