Menurut AI, kekejaman itu berlaku pada 25 Ogos 2017, hari sama pemberontak Rohingya menyerang pondok-pondok polis Myanmar sekali gus mengheret negeri itu ke dalam krisis.

Pihak tentera melancarkan serangan balas ke atas pemberontak, manakala tindakan keras itu memaksa 700,000 etnik Islam Rohingya me­ninggalkan Myanmar selepas mereka ditindas bertahun-tahun.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menyifatkan operasi tentera Myanmar di Rakhine sebagai penghapusan etnik selepas askar dan kumpulan samseng dituduh membunuh penduduk Rohingya dan membakar kampung mereka.

Bagaimanapun, militan Rohingya juga didakwa me­lakukan penganiayaan dalam krisis di Rakhine.

Ia termasuk pembunuhan beramai-ramai etnik beragama Hindu di utara Rakhine di mana tentera membawa sekumpulan pemberita menyaksikan penggalian semula sebilangan mayat daripada kubur cetek pada September tahun lalu.

Kumpulan pemberontak dikenali sebagai Tentera Penyelamat Arakan Rohingya (ARSA) sebelum ini menafikan membunuh mereka.

Bagaimanapun, AI menyatakan semalam bahawa siasatan terbaharu mengesahkan ARSA membunuh 53 etnik Hindu tersebut, kebanyakannya kanak-kanak di kampung Kha Maung Seik, utara bandar Maungdaw.“Mencari pihak bertanggungjawab ke atas kekejaman ini sama pentingnya dengan kebertanggungjawapan terhadap jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan Myanmar di Rakhine,” kata Pengarah Tindak Balas Krisis AI, Tirana Hassan. 
– AFP