Kementerian Antikuiti Mesir menyatakan tapak zaman Neolitik itu ditemui di Tell el-Samara iaitu kira-kira 140 kilometer arah utara Kaherah.

Ketua Arkeologi, Frederic Gio menyatakan, pasukannya telah menemui sejumlah silo atau tempat simpanan mengandungi tulang-tulang haiwan dan makanan sekali gus menandakan kewujudan habitat manusia seawal tahun 5,000 Sebelum Masihi.

Catatan itu menandakan kewujudan perkampungan itu kira-kira 2,500 tahun sebelum pembinaan piramid-piramid Giza.

Pada awal tahun ini, pakar arkeologi Mesir menemui satu makam berusia 4,400 tahun di Giza milik seorang wanita bernama Hetpet dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan keluarga diraja Mesir purba dinasti ke-5.

Sejak beberapa tahun lalu, Mesir berjaya membuat sejumlah penemuan dengan harapan dapat membantu industri pelancongan selepas kebangkitan rakyat atau revolusi tahun 2011. – Agensi