Baginda menukar ketua tentera darat dan udara di samping pegawai awam termasuk beberapa timbalan menteri menerusi dekri diraja.

Sebab rasmi rombakan itu tidak dinyatakan, namun, pertukaran itu berlaku ketika Putera Mahkota Mohammed bin Salman melancarkan rombakan kepimpinan tentera dan memanjangkan kempen ketenteraan terhadap pemberontak Houthi di Yemen yang hampir meng­akhiri tahun ketiga.

“Ketua Staf Tentera, Jene­ral Abdul Rahman bin Saleh Al-Bunyan ditamatkan perkhidmatannya,” lapor agensi berita rasmi Saudi Press (SPA).

Menurut SPA, tempat beliau digantikan oleh Leftenan Jeneral Fayyad Al-Ruwaili.

Jeneral Abdul Rahman dipecat selepas merasmikan pameran senjata anjuran syarikat pertahanan milik negara, Industri Ketenteraan Arab Saudi (SAMI) di Riyadh, minggu ini.

“Rombakan tentera sedang berlaku di Arab Saudi,” kata penasihat kanan firma perunding Gulf States Analytics, Theodore Karasik ketika mengulas perkemba­ngan itu kepada agensi berita AFP.

“Ia menyusul selepas pame­ran SAMI dan merupakan aspek kritikal dalam ranca­ngan pembaharuan Putera Mohammed untuk mewujudkan sebuah program pertahanan yang asli,” tambahnya

Putera Mohammed, 32, yang juga Menteri Pertahanan Arab Saudi bertindak mengukuhkan kuasanya sejak beberapa bulan lalu ketika melaksanakan pembaharuan besar-besaran dalam pelbagai bidang terutamanya ekonomi dan sosial.

Selain menukarkan komander tertinggi tentera, dekri Raja Salman turut menyaksikan sebilangan pegawai muda dinaikkan pangkat mengisi jawatan utama termasuk sebagai timbalan menteri, timbalan gabenor wilayah dan penasihat majlis diraja.

Ia termasuk pelantikan Tamadar binti Yousef Al-Ramah sebagai Timbalan Menteri Buruh dan Pembangunan Masyarakat.

Pelantikan wanita untuk mengisi jawatan utama dalam kerajaan jarang berlaku di Arab Saudi.

Dalam perkembangan sama, Putera Turki bin Talal, 49, yang merupakan adik bilionair Arab Saudi, Putera Al-Waleed bin Talal, 62, pula dilantik Timbalan Gabenor Wilayah Assir di selatan negara itu.

Putera Al-Waleed merupakan antara beratus-ratus putera, menteri dan ahli perniagaan yang ditahan di hotel mewah, Ritz-Carlton di Riyadh dalam kempen membanteras rasuah yang menyasarkan golongan elit negara itu pada akhir tahun lalu. – AFP