Saham syarikat teknologi itu melonjak 2.9 peratus kelmarin untuk ditutup pada harga AS$207.39 (RM846) sesaham, sementara modal terkumpul pula mencecah AS$1.002 trilion (RM4.09 trilion).

Nilai Apple juga meningkat 9 peratus sejak Selasa lalu, didorong oleh laporan pendapatan suku kewa­ngan berakhir Jun lepas yang melebihi jangkaan dan pembelian saham sendiri bernilai AS$20 bi­lion (RM81.59 bilion).

Dalam perutusannya kepada lebih 120,000 pekerja Apple kelmarin seperti yang dilihat agensi berita Reuters, Ketua Pegawai Eksekutif, Tim Cook berkata, penilaian AS$1 trilion itu merupakan ‘pencapaian besar’ yang boleh dibanggakan oleh kakitangannya.

Namun begitu, kata Cook , ia bukanlah ukuran paling utama dalam menilai kejayaan Apple.

“Pulangan kewangan ini adalah hasil inovasi ­Apple yang mengutamakan pro­duk dan pelanggan serta sentiasa berpegang teguh kepada nilai-nilai kita,” kata Cook dalam perutusan tersebut.

Diasaskan di dalam garaj milik pengasas bersama, Steve Jobs dalam tahun 1976, pendapatan Apple meningkat lebih besar da­ri­pada keluaran ekonomi beberapa negara termasuk Portugal dan New Zealand.

Nilai Apple juga kini lebih tinggi berbanding gabungan syarikat gergasi AS terdiri daripada ­Ex­xon Mobil Corp, Procter & Gamble Co dan AT&T Inc. Saham pengeluar iPhone itu melonjak lebih 50,000 peratus sejak penawaran awam pertamanya pada tahun 1980.

Jobs meninggal dunia pada tahun 2011 dan digantikan oleh Cook. Beliau berjaya meningkatkan keuntungan Apple seba­nyak dua kali ganda tetapi berdepan kesukaran untuk mengulangi kejayaan mendiang melalui inovasi iPhone. – Reuters