Anjing yang diberi nama Suzie itu dipelihara seorang jurutera bebas, Kelly Hartman, 30, sejak lebih 10 tahun lalu sebelum membuat keputusan memelihara beberapa ekor anak kucing terbiar yang diambil daripada sebuah pusat pelindungan haiwan.

“Pusat itu memberikan lima ekor anak kucing yang berusia empat minggu. Pada mulanya saya agak keberatan menjaga haiwan tersebut kerana menyedari anjing dan kucing tidak dapat bergaul bersama, justeru saya memutuskan untuk menempatkan di bilik berasingan,” ujarnya.

Selepas beberapa hari, Hartman cuba ‘memperkenalkan’ haiwan berkenaan. Suzie dilihat menghampiri kumpulan anak kucing itu dan menunggu mereka untuk datang kepadanya.

Mengejutkan kerana anak kucing tersebut dilihat sangat mesra dengan Suzie, malah gemar tidur bersama. Sejak hari itu, Suzie seolah-olah menjadi pengasuh kepada anak-anak kucing tersebut sebelum cukup besar untuk diserahkan kepada mereka yang mahu memelihara haiwan berkenaan.

Sehingga kini, Suzie telah menjaga lebih 50 ekor anak kucing dan telah mendapat dua ekor ‘pembantu’ yang turut dibela oleh Hartman iaitu seekor kucing buta sebelah mata bernama Kushi dan seekor lagi kucing buta, Sunny. – Agensi