Haiwan aneh itu ditemui di tepi pantai Hilton Head, sebuah pulau di negeri Carolina Selatan, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Di sebalik keganjilan tersebut, pakar-pakar berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia adalah perkara semula jadi dan bukan mutasi akibat pencemaran.

Amber Kuehn yang merupakan pengurus pertubuhan bukan kerajaan iaitu Peronda Penyu Laut Pulau Hilton Head berkata, penyu berkepala dua adalah jarang ditemui.

“Perkara ini jarang berlaku tetapi tiada apa yang perlu dirisaukan. Sesetengah orang menganggap keganjilan tersebut disebabkan radiasi di dalam air tetapi itu bukan puncanya. Keanehan seperti ini sekali-sekala berlaku dan disebabkan alam semula jadi,” katanya.

Beberapa aktivis yang menemui penyu itu berkata, kepala kanan haiwan tersebut mengawal satu siripnya manakala sirip kedua dikawal oleh kepala kirinya.

“Terdapat dua bonjolan yang memanjang ke tengah cengkerang penyu itu, mungkin setiap kepala tersebut mempunyai tulang belakang sendiri,” kata Amber.

Jantina penyu itu tidak jelas tetapi berkemungkinan besar kedua-dua kepala tersebut berkongsi satu jantina kerana ia berasal daripada telur yang sama.

Menurut Amber, ini merupakan antara beberapa mutasi pelik yang pernah ditemuinya sepanjang 21 tahun dia memantau hidupan penyu. – Agensi